Selamat datang ke blog redhamu ku cari, semoga kandungan blog ini dapat memimpin muslimin dan muslimat ke jalan kebenaran. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Oleh itu marilaha kita beribadat supaya kita tergolong dikalangan yang orang yang di redhai-Nya.

Wednesday, March 31, 2010

Syukur...Syukur.....Syukur!




Apabila bulan Rabiul Awal muncul maka masjid dan surau di seluruh Negara pasti meriah dengan sambutan Maulidur Rasul – bulan kelahiran junjungan besar, Rasulullah. s.a.w. Beliau adalah penutup segala nabi dan semulia-mulia makhluk yang pernah diciptakan Allah. Maka sangat wajar kita memuliakan dan memeriahkan majlis kelahirannya lantas memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menjadikan kita umat Muhammad s.a.w. Masyaallah tidak cukup dengan nikmat iman dan Islam, Allah jadikan kita umat Nabi Muhammad pula.

Cuba kita bayangkan betapa bertuah kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. bayangkan nabi-nabi lain tidak mampu memberi syafaat umum kepada umatnya sepertimana Nabi Muhammad s.a.w di Padang Mahsyar nanti. Dalam hadis dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Setiap nabi mempunyai doa-doa yang didoakan untuk umatnya, sesungguhnya aku menyimpan doaku sebagai syafaat umatku di hari kiamat”. Ya Allah betapa mulianya peribadi rRasulullah yang mana sanggup berkorban untuk umatnya walaupun beliau pernah dicaci dan dihina.

Rasa syukur memang senang kita diucapkan tetapi berapa ramai dari kita yang sering berrsyukur? Semasa kita hendakkan sesuatu, amboi bukan main lagi kita panjatkan doa agar diperkenankan doa kita tu….tapi apabila sudah dapat apa yang dihajati , ramai pula yang lupakan Allah. Pendek kata lupa hendak bersyukur. Kalau ada pun mula-mula itu bersyukur … tapi selepas itu apabila kerja semakin sibuk, doa entah ke mana, syukur jauh sekali.

Tidak bererti harta kekayaan kalau jiwa miskin, rumah lapang tetapi hati sempit, berilmu pengetahuan tetapi berpekerti buruk, berpangkat tinggi tetapi hidup dalam kebencian orang, beristeri cantik ( atau bersuami macho) tetapi hati susah, harta menimbun-nimbun tetapi hati susah, harta menimbun tetapi badan memaanjang sakit dan paling teruk semua kekayaan yang kita punya tidak membawa erti apa-apa jika kita tidak pandai bersyukur.

Adakah kita mengetahui bahawa kesenangan tubuh terletak pada sedikit makan. Kesenangan jiwa terletak dalam sedikit berbuat buruk. Kesenangan hati pula terletak pada sedikit kepentingan. Kesenangan lidah terletak pada sedikit berbicara yang bukan—bukan dan kesenangan nikmat adalah apabila kita pandai BERSYUKUR.

Dan ingatlah jika Allah mahu mendidik manusia, maka diturunkannya kesusahan kerana itu tandanya Allah masih ingat kepada kita. Itulah yang sering saya katakana kepada anak saya apabila mereka ditimpa kesakitan. Ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa syukur itu adalah nikmat daripada Allah yang dianugerahkan kepada kita.

Oleh itu bersyukurlah jika kita ditimpa kesusahan kerana itu tandanya Allah masih ingat pada kita. Kesimpulannya, syukur juga adalah milik Allah dan bukan milik kita kerana tanpa Allah siapalah kita. Syukur...syukur ya Allah

No comments:

Post a Comment